Monday 29 August 2011

Salamat Hari Raya Aidil Fitri

Allahuakbar 3x

Kami, warga pengurusan PASTI As-Solihin ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga PASTI terutamanya pelajar dan ibu bapa PASTI As-Solihin, juga kepada masyarakat di Merlimau yang selama ini telah banyak mendokong dan menyokong kami. Semoga lebaran kali ini menjadi lebaran terbaik kita setelah menempuh ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Tuesday 16 August 2011

PERTANDINGAN MENCIPTA MASKOT PASTI

Pasti Malaysia menganjurkan pertandingan mencipta maskot bagi menggiatkan usaha promosi dan memperkenalkan Pasti agar masyarakat dapat mengenali institusi pendidikan prasekolah itu dengan lebih dekat.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pasti, Mad Shahmior Mat Kosim, maskot yang dicipta mestilah mudah dikenali dan kelihatan mesra bagi membantu mempromosikan Pasti ke tengah masyarakat

Beliau berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia dan tarikh tutup pertandingan adalah pada 31 Ogos 2011.“Maskot yang dicipta hendaklah sopan dan menepati ciri-ciri akhlak Islam, boleh menggunakan rujukan haiwan, tumbuhan mahupun manusia dewasa atau kanak-kanak.

“Penerangan konsep mascot boleh dibuat secara bertulis, beranimasi atau menggunakan video,” jelasnya.Hasil ciptaan maskot, tambah Shahmior hendaklah asli dan bukan plagiat daripada mana-mana pihak.Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000. Hasil karya boleh dihantar ke Sekretariat Pertandingan Mencipta Maskot Pasti Malaysia, Ibu Pejabat Pasti Malaysia, No. 1027, Jalan Samudera Utama, Taman Samudera, 68100 Batu Caves, Selangor atau emel ke pasti_pusat@yahoo.com.my
Pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Ibu Pejabat Pasti Malaysia di talian 03 61876592.
Sumber: Jabatan PASTI, DPPK Jasin

Sejarah Bendera Malaysia


Saturday 6 August 2011

RAMADAN, AL-QURAN DAN UMAT ISLAM


Al-Quran adalah mukjizat yang amat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam dan kepada manusia seluruhnya. Di dalamnya terkandung hikmah yang tidak terhingga banyaknya. Tetapi malangnya kitab yang amat besar khazanahnya ini telah tidak digunakan sepenuhnya oleh manusia. Jadilah Al-Quran itu digunakan untuk hanya menghalau hantu dan syaitan. Digunakan untuk dilagu-lagukan. Al-Quran dijadikan bahan-bahan kajian ilmiah semata-mata. Samada di pusat-pusat pengajian dan di pentas-pentas seminar sahaja. Wal hal Al-Quran yang hebat ini boleh memberikan sesuatu yang lebih besar maknanya dari itu.


TUJUAN MEMBACA AL-QURAN

            Tujuan Allah menurunkan Al-Quran kepada manusia bukanlah  untuk dijadikan bahan bacaan semata-mata. Bukan pula untuk tujuan dikhatamkan sahaja. Tetapi matalamat Al-Quran diturunkan adalah sebagai pembeda antara yang hak dan yang batil. Firman Allah SWT :

“Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan permulaan Al-Quran. Menjadi petunjuk dan penjelasan kepada petunjuk dan sebagai pembeda (antara yang hak dan yang batil)”
(Al-Baqarah : 185)

SIKAP UMAT ISLAM TERHADAP AL-QURAN DAN AKIBATNYA

          Umat Islam seperti yang disebut dalam Al-Quran adalah umat yang terbaik. Yang melakukan dua pekerjaan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Iaitu kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah”
( Ali-Imrah :110)

          Tetapi, apa yang berlaku tidak seperti apa yang disebutkan dalam Al-Quran. Umat Islam kini terhina dan dihina. Ini adalah kerana perilaku umat Islam telah menjadi songsang. Merekalah menjadi penganjur kemungkaran dan penghalang bagi terlaksananya kebenaran (al-hak). Pantang sahaja ada majlis-majlis heboh-hebohan. Merekalah yang akan menjadi pelangan utama yang meramaikan majlis tersebut.
         
Sempena di bulan barakah Ramadan Al-Mubarak ini marilah kita umat Islam melakukan perubahan bermula daripada diri sendiri. Tingkatkan penghayatan kita kepada Al-Quran. Daripada menjadikannya sebagai  tadarus dan khatam semata-mata kepada menjadikan al-Quran sebagai dustur (panduan) dalam kehidupan. Insyallah kita akan menjadi suatu umah yang pernah dilahirkan oleh Rasulullah SAW iaitu “Generasi Al-Quran” yang pernah menjadi guru kepada dunia dalam segenap bidang.

Sumber: Buletin PASTI Negeri Johor

Tuesday 2 August 2011

Al-Fatihah

Dukacita dimaklumkan bahawa bonda kepada Cikgu Norlida, Guru PASTI As-Solihin telah kembali ke rahmatullah  pada sekitar 11 malam 2 Ramadhan. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor pada 3 Ramadhan. Kepada semua keluarga PASTI As-Solihin, bolehlah menziarahi Cikgu Norlida dikediamannya berdekatan Jalan Dato' Nawar, Merlimau, Melaka. Seluruh keluarga PASTI As-Solihin mendoakan agar roh Bonda Cikgu Norlida ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Monday 1 August 2011

Gotong Royong Mengecat PASTI As-Solihin



Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, maka gotong-royong mengecat PASTI As-Solihin telah berjaya diadakan pada 30 Julai 2011. Gotong-royong ini telah dihadiri oleh ramai  penduduk daripada masyarakat setempat. Daripada warga emas sehinggalah remaja dan kanak-kanak telah memeriahkan aktiviti ini. Gotong-royong ini juga telah dihadiri oleh beberapa pemimpin masyarakat setempat, antaranya adalah Sdr Aminuddin Abdul Jalil. Secara keseluruhan, gotong-royong ini telah berjaya menceriakan wajah PASTI As-Solihin. Diharapkan agar ianya memberi suasana yang ceria dan selesa untuk anak-anak kecil kita mempelajari asas agama yang mereka cintai. Pengurusan PASTI As-Solihin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan gotong royong ini. Tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah menderma samada kewangan, cat, peralatan mengecat, makanan dan sebagainya. Semoga Allah memberkati anda semua.

Thursday 28 July 2011

PERUBAHAN WAKTU BELAJAR BERSEMPENA BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK

Sukacita dimaklumkan bahawa waktu  tamat persekolahan PASTI As-Solihin telah diawalkan bersempena bulan Ramadhan Al-Mubarak. Perubahan waktu adalah seperti berikut:

Waktu Tamat Persekolahan Biasa                               : 12.00 tgh
Waktu Tamat Persekolahan Bulan Ramadhan            : 11.30 pagi 


Sehubungan itu, diharap tuan/puan dapat menjemput anak tuan/puan pada waktu yang telah dimaklumkan sepanjang bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun, waktu pembelajaran akan kembali seperti biasa selepas bulan Ramadhan.

Kerjasama tuan/puan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Wednesday 27 July 2011

PASTI Bersamamu

Dukacita dimaklumkan bahawa bonda kepada guru PASTI As-Solihin, Cikgu Norlida sedang berada dalam keadaan sakit. Kami warga pengurusan dan ibu bapa PASTI As-Solihin merasa sedih dan turut bersimpati dengan keadaan tersebut. Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berhubung sendiri dengan Cikgu Norlida di PASTI-As-Solihin pada waktu persekolahan atau menziarahi beliau dikediamannya. Semoga keperihatinan kita dapat menceriakan keluarga Cikgu Norlida.

Gotong Royong PASTI As-Solihin 2011-2


Kepada AJK dan Ibu Bapa PASTI As-Solihin dan Masyarakat Merlimau yang dihormati,

PASTI As-Solihin sedang mengalami proses transformasi. InsyaAllah pada hari Sabtu ini, 30 Julai 2011, akan diadakan majlis gotong-royong untuk mengecat bangunan PASTI As-Solihin bermula jam 9 pagi. Sehubungan itu, semua ibu bapa dan masyarakat di Merlimau dijemput untuk turut sama dalam gotong-royong ini. Mudah-mudahan, ia mampu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan ceria kepada anak-anak kecil kita. Semoga ia menjadi ibadah buat kita semua. Kepada yang datang, anda digalakkan untuk membawa peralatan mengecat bersama. Terima kasih.

Tuesday 26 July 2011

PASTI AS-SOLIHIN MENUJU TRANSFORMASI


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izinnya, dapat diterbitkan bulletin PASTI As-Solihin keluaran bulan Ogos. Sepertimana yang sedia maklum, bulan ini merupakan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan. Didalam bulan ini juga diturunkan satu risalah terbesar buat panduan umat manusia iaitu Al-Quran. Dalam keluaran ini, sedikit tazkirah berkenaan bulan Ramadhan dan Al-Quran diselitkan untuk sama-sama kita renungi dan hayati. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat bersama. 

PASTI juga dalam usaha melakukan transformasi. Bermula dengan gotong-royong membersihkan bangunan PASTI pada bulan JUN, pihak pengurusan PASTI juga merancang untuk membaik pulih bangunan PASTI untuk kemudahan anak-anak kecil yang dahagakan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dikemudian hari. Sehubungan itu, pihak kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada tuan/puan terutamanya dalam bentuk kewangan. Sumbangan bolehlah diberi terus kepada guru-guru PASTI As-Solihin.

Pengurusan PASTI juga ada membuat jualan kerepek bersempena sambutan Aidil Fitri tidak lama lagi. Sampel kerepek boleh didapati di pejabat PASTI As-Solihin pada waktu persekolahan. Selain itu, pengurusan PASTI dengan kerjasama Kedai Yunus Versatile Enterprise, Kedai Esah & Sons dan Kedai Ayam Bob telah menjual produk jus minuman yang diperbuat daripada daun pokok stevia. Produk ini tidak mengandungi gula tetapi menggunakan manisan tumbuh-tumbuhan daripada daun pokok stevia dan tidak memudaratkan kesihatan. Sebahagian daripada keuntungan jualan kerepek dan jus minuman ini akan digunakan untuk membantu Tabung Transformasi PASTI As-Solihin.

Akhir sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang selama ini berterusan membantu PASTI As-Solihin. Saya juga menyeru kepada tuan/puan untuk bersama-sama membantu anak-anak kecil kita mempelajari dan mengenali Islam dalam keadaan yang lebih selesa. Mudah-mudahan menjadi ibadat buat bekalan kita di akhirat nanti. 

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Friday 22 July 2011

Bulan Syaaban Bulan Penuh Kerahmatan

Pendahuluan

Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah;

Bahawasanya Nabi SAW paling banyak berpuasa (sunat) dalam bulan Syaaban. Apabila ditanyakan kepada baginda tentang itu, maka baginda pun menjawab: Orang biasa melupakan bulan itu (Syaaban)  yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan kepada Tuhan Seluruh Alam dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa" (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan An-Nasai)

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua Rejab yang dipenuhi dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segalan dosa. Pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
  • Memperbanyakkan puasa sunat
  • Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat kepada Rasulullah S.A.W
  • Memperbanyakkan Bertaubat

PERISTIWA PENTING DI DALAM BULAN SYAABAN
  • Malam Nisfu Syaaban
  • Penukaran Arah Kiblat daripada Baitul Muqaddis kepada Baitullah
  • Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini di sampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. peperangan ini dari Madinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5Hijrah. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

sumber: www.al-azim.com@ Bahagian Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Melaka
Click to Make One