Saturday, 6 August 2011

RAMADAN, AL-QURAN DAN UMAT ISLAM


Al-Quran adalah mukjizat yang amat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam dan kepada manusia seluruhnya. Di dalamnya terkandung hikmah yang tidak terhingga banyaknya. Tetapi malangnya kitab yang amat besar khazanahnya ini telah tidak digunakan sepenuhnya oleh manusia. Jadilah Al-Quran itu digunakan untuk hanya menghalau hantu dan syaitan. Digunakan untuk dilagu-lagukan. Al-Quran dijadikan bahan-bahan kajian ilmiah semata-mata. Samada di pusat-pusat pengajian dan di pentas-pentas seminar sahaja. Wal hal Al-Quran yang hebat ini boleh memberikan sesuatu yang lebih besar maknanya dari itu.


TUJUAN MEMBACA AL-QURAN

            Tujuan Allah menurunkan Al-Quran kepada manusia bukanlah  untuk dijadikan bahan bacaan semata-mata. Bukan pula untuk tujuan dikhatamkan sahaja. Tetapi matalamat Al-Quran diturunkan adalah sebagai pembeda antara yang hak dan yang batil. Firman Allah SWT :

“Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan permulaan Al-Quran. Menjadi petunjuk dan penjelasan kepada petunjuk dan sebagai pembeda (antara yang hak dan yang batil)”
(Al-Baqarah : 185)

SIKAP UMAT ISLAM TERHADAP AL-QURAN DAN AKIBATNYA

          Umat Islam seperti yang disebut dalam Al-Quran adalah umat yang terbaik. Yang melakukan dua pekerjaan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Iaitu kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah”
( Ali-Imrah :110)

          Tetapi, apa yang berlaku tidak seperti apa yang disebutkan dalam Al-Quran. Umat Islam kini terhina dan dihina. Ini adalah kerana perilaku umat Islam telah menjadi songsang. Merekalah menjadi penganjur kemungkaran dan penghalang bagi terlaksananya kebenaran (al-hak). Pantang sahaja ada majlis-majlis heboh-hebohan. Merekalah yang akan menjadi pelangan utama yang meramaikan majlis tersebut.
         
Sempena di bulan barakah Ramadan Al-Mubarak ini marilah kita umat Islam melakukan perubahan bermula daripada diri sendiri. Tingkatkan penghayatan kita kepada Al-Quran. Daripada menjadikannya sebagai  tadarus dan khatam semata-mata kepada menjadikan al-Quran sebagai dustur (panduan) dalam kehidupan. Insyallah kita akan menjadi suatu umah yang pernah dilahirkan oleh Rasulullah SAW iaitu “Generasi Al-Quran” yang pernah menjadi guru kepada dunia dalam segenap bidang.

Sumber: Buletin PASTI Negeri Johor

No comments:

Post a Comment

Click to Make One